:
PENGENALAN


LATAR BELAKANG PENUBUHAN SEKOLAH

Sekolah ini ditubuhkan pada Disember 1988 dan diasaskan oleh Ustazah Fatimah Abu Bakar. Pada awal pembukaannya sekolah ini dikenali sebagai Kelas Tahfiz ABIM dimana keseluruhan program pendidikan kurikulum mengikut garis panduan pelajaran yang ditetapkan oleh ABIM. Pada awalnya juga, Kelas Tahfiz ABIM ini beroperasi di tempat kediaman yang terletak di No. 16, Jalan SG 9/33 Taman Sri Gombak. Pada tahun 1988 Kelas Tahfiz ABIM ini merupakan satu-satunya kelas yang memberikan pendidikan agama dan fardhu ‘Ain di kawasan Taman Sri Gombak. Pada awal pembukaannya juga kelas ini telah mendapat dorongan dan sambutan yang amat mengalakkan dari penduduk setempat. Oleh kerana majoriti penduduk di kawasan Taman Sri Gombak terdiri daripada masyarakat Islam, maka Kelas Tahfiz ABIM ini tidak dapat untuk menampung bilangan pelajar yang ramai berikutan ruang pembelajaran yang terhad. Pihak Kelas Tahfiz ABIM juga tidak dapat untuk meluaskan lagi tempat pembelajaran berikutan yuran yang dikenakan amatlah rendah iaitu RM 10.00 sebulan untuk setiap pelajar.

Pencapaian Dari 1989- Kini

Kecemerlangan pelajar-pelajar Kelas Tahfiz ABIM dari tahun 1989 hingga 1997 telah menaikkan nama Kelas Tahfiz ABIM sebagai sebuah kelas agama yang unggul dan berkesan dalam mencapai matlamatnya. Justeru itu, pihak Kelas Tahfiz ABIM telah mengorak langkah kehadapan dengan mendaftarkan Kelas Tahfiz ABIM di Jabatan Agama Islam Selangor dan sekaligus menaikkan taraf dari sebuah kelas agama kepada sebuah Sekolah Agama Rakyat dan mendaftar sebuah lagi pusat pendidikan bagi peringkat pra-persekolahan iaitu tadika yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada tahun 1998 Kelas Tahfiz ABIM telah bertukar nama ke Sekolah Agama Rakyat Saidina Abu Bakar As-Siddiq (SARSAAS). Atas sokongan, dorongan dan desakan pelbagai pihak, SARSAAS telah bertukar tempat operasinya dengan menyewa sebuah bangunan rumah kedai sebesar 2 tingkat bagi memenuhi permintaan tinggi. Pada tahun pertama penubuhan SARSAAS, pelajar-pelajarnya telah lulus peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA) dengan keputusan yang amat cemerlang iaitu, kelulusan 100%. Pihak sekolah juga telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam membantu melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Agama berasrama penuh kerajaan. Kejayaan ini adalah hasil usahasama ibubapa, guru dan pelajar.

Pihak SARSAAS sangat menitik beratkan kualiti dalam melantik tenaga pengajar agar mereka dapat memberikan komitmen yang tinggi  terhadap kerjaya mereka dan memilih daripada mereka yang  berkelulusan tinggi. Disamping kecemerlangan dari segi akademik, pihak SARSAAS tetap memelihara dan berusaha untuk memastikan pelajarnya juga cemerlang dari segi fizikal. Dengan itu pihak SARSAAS telah mengatur, merancang dan melaksanakan beberapa program ko-kurikulum seperti lawatan sambil belajar, program motivasi, program Qiamullail ibubapa/ pelajar, perkhemahan ibadah dan sukaneka.

Program Qiyamullail dan motivasi yang diadakan ini, banyak memberi perubahan yang ketara di dalam diri pelajar, terutama dari segi peningkatan dalam pelajaran dan akhlak. Di samping itu juga pihak sekolah telah menganjurkan pertandingan antara sekolah-sekolah agama daerah Gombak. Acara-acara seperti Hafalan Surah, Muqaddam, Yassin, wudhuk, bacaan doa-doa harian/selesai solat, praktikal solat dan lain-lain telah diadakan.

Alhamdulillah selama tiga tahun bertanding, SARSAAS telah menjadi juara sekaligus merebut piala pusingan selama tiga tahun berturut-turut.  Di akhir persekolahan, Hari Penyampaian Hadiah dan Sijil Tamat Belajar diadakan pada setiap tahun. Anugerah khas serta tokoh pelajar telah dipilih mengikut pencapaian dari pelbagai aspek. Ini bertujuan memberi galakkan dan keyakinan serta menambah semangat kendiri para pelajar agar terus maju kehadapan. Pada tahun 2004, nama SARSAAS telah ditukarkan kepada SRISAAS iaitu Sekolah Rendah Islam Saidina Abu Bakar As-Siddiq.

Sepanjang tahun 2005 sehingga 2008, prestasi PSRA sekolah adalah pada tahap yang membanggakan. Tambahan lagi, menjelang tahun 2009, SRISAAS telah menaikkan lagi namanya dengan mendapat Anugerah Sekolah Cemerlang peringkat Negeri Selangor. Bagi tahun 2010 pula, SRISAAS terus maju dengan mendapat:

• Anugerah Prestasi Terbaik Keseluruhan PSRA 2010 Pangkat Pertama Daerah Gombak

• Anugerah Sekolah Terbaik Kelumpuk PSRA 2010 bagi Zon Kelumpuk Sekolah Swasta Daerah Gombak

•Anugerah 5 Matapelajaran Terbaik PSRA 2010 bagi Zon Kelumpuk Sekolah Swasta Daerah Gombak bagi matapelajaran Imlak/ Khat, Bahasa Arab, Tauhid/ Feqah, Akhlak/ Sirah dan Tajwid.

. Anugerah GPS tertinggi PSRA 2015 bagi Daerah Gombak.

. Anugerah Sekolah Terbaik Daerah Gombak bagi Peperiksaasn UPKK 2015.


SRISAAS terus mengekalkan dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi pelajar-pelajarnya. SRISAAS juga sentiasa mengorak langkah dalam memberikan yang terbaik untuk setiap anak didiknya dengan merancangkan beberapa strategi bagi meningkatkan prestasi dan kualiti pengajaran serta pembelajaran. Antaranya adalah dengan menyediakan pusat sumber yang dilengkapi dengan bahan-bahan ilmiah yang menjadi tempat mentelaah dan rujukan pelajarnya.

SRISAAS juga sentiasa menganjurkan bengkel motivasi kepada pelajar-pelajar, mendedahkan mereka kepada pertandingan-pertandingan antara sekolah supaya mereka mendapat pengalaman dalam daya saing yang positif, menganjurkan program Kem Super Soleh dan macam-macam lagi usaha yang dibuat bagi mengeluarkan pelajar-pelajar yang berkualiti. Segala perkembangan berkenaan hal ehwal pelajar diuruskan dengan lebih efisien dan tepat. SRISAAS diharapkan agar lebih maju di masa akan datang seiring dengan perkembangan dunia pendidikan global kini.


SEKOLAH RENDAH ISLAM SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ (7 – 12 TAHUN)

SESI PERSEKOLAHAN :
SESI PAGI – 7.30 PG -10.30 PG
SESI PETANG - 2.30PTG – 5.30PTG


TADIKA ISLAM SAIDINA ABU BAKAR AS-SIDDIQ (5-6 TAHUN)

SESI PERSEKOLAHAN :

ISNIN-KHAMIS

SESI PAGI: 8.00 PG – 12.00 TGH HARI
SESI PETANG: 1.30PTG – 5.30PTG

JUMAAT

SESI PAGI: 8.00 PAGI - 11.00 PAGI
SESI PETANG: 2.30 PETANG - 5.30 PETANG